Tentang

Monday 25 February 2013

Terlanjur hati.



Melewati hari-hari yang sibuk seakannya rahmat dari Ilahi. Dalam pada memikirkan itu ini membuatkan fikiran aku sedikit sebanyak leka. Sedikit saja sebenarnya, tapi ianya sudah cukup. Ditambah dengan kerenah rakan-rakan yang bersamanya gila dan mengusik. *senyum*

Seakannya aku sudah lupa pesan.

“Perempuan, walau bagaimana dia kunci kemas pintu hati, pasti akan tewas juga. Kamu anak laki-laki. Anak laki-laki itu kuat. Sa-orang laki-laki itu takkan pernah jatuh hati, selagi dia tidak bukakan pintu hati dengan sendiri,”

Cuai, atau terbuai, aku tidak tahu.

Menyesal? Takkan pernah.

Cuma sekarang, aku kembali teringatkan.


-AsaSiaga-

Monday 18 February 2013

Valentine's (ii)



Hari Kekasih jarang memberikan apa makna kepada aku. Ya, ada satu dua momen yang aku teringatkan, tapi untuk keseluruhannya, tiada apa.

Tidak untuk Ibu. Setiap tahun, pada lewat petang Hari Kekasih, dia akan pulang tersenyum dengan sejambak bunga, pemberian Ayah.

"Dengan mengelopaknya bunga ini, layulah bunga lampau, kekasihku."

Lelaki itu, tanpa pernah gagal setiap kalinya akan menghantarkan bunga buat Ibu.


#Selamat Hari Kekasih, untuk kalian. Terlewat? Maaf. Aku sendiri sa-orang yang sentiasa terlewatkan. *senyum*

-AsaSiaga-

Friday 15 February 2013

Valentine's

Awal pagi tadi, teman aku bertanyakan perihal Valentine's. Sambutan Valentine's lebih tepat lagi. Adakah segalanya sempurna?

Lantas aku jelaskan bahawa Valentine's ku baik baik saja bermula seawal pagi kelmarin kemudian disempurnakan seawal pagi tadi.

Matanya yang bundar bertukar kecil mendengar penjelasanku.

Aku jelaskan lagi bahawa Valentine's aku tiada manisan coklat, tiada beruang besar, tiada bunga mahupun tiadanya kehadiran kekasih. Tiada seperti kebiasaan yang mereka lalui dan lewati itu. Tiada itu dan tiada ini juga. Tapi, ianya cukup sempurna.

Pelik bukan? *ketawa*

Apa yang aku maksudkan adalah, kasih dan gembiranya aku terbit tatkala pasukan Man Utd yang ego dan angkuh paras tertinggi itu sekadar seri. Itu cukup baik bagi aku. Kemudian disempurnakan pula kemenangan pasukan kegemaran aku di laman sendiri.

Bukankah itu cukup bermakna Valentine's aku?


Monday 11 February 2013

Sampai.


"Kenapa dia sampai begitu sekali?"

Begitu, bagaimana?

"Sampai dengan perempuan begitu sekali dia menggantikan aku. Apa dia sudah terdesak?" katanya dengan nada mengejek.

Aku diam, tiada apa yang aku mahu balaskan.

"Setahu aku, dia tidak suka perempuan gaya begitu. Kenapa sekarang dia gantikan aku dengan.. perempuan sebegitu?"

Ya, mungkin saja perempuan gaya begini atau begitu bukan kegemaran dia. Mungkin perempuan gaya seperti kamu yang dia sukakan.

"Jadi?"

Kau tahu, perempuan itu, yang dia gantikan itu, sangat sayangkan dia. Sangat jatuh pada dia dengan seluruhnya dia. Sangat suka akan dia dengan apa pun diri dia. Nah, itukan yang paling penting? Bersama dengan orang yang terima dia atas siapa dia. Bukan kerna dia begini atau begitu.

*dia diam*

Kamu juga tinggalkan dia kerna dia begini atau begitu. Kau tahu, perempuan itu pula terima dia kerna dia begini atau begitu. Seadanya.

"Ah, biarkan!"

-AsaSiaga-

Friday 8 February 2013

Kenangan Indah

Di satu sudut, bilah kayu pasak bernombor itu aku renung. Lusuh dan usang di makan usia. Lampu pam gas di siling sedari tadi menerangi suasana hampir malap kehabisan minyaknya.

Lalu dicapai kerusi bulat separa lutut dan aku duduk. Ruang itu, meja bulat terletak bekas kecil lada sulah, kicap cair, cili jeruk serta rimbunan chopstick juga sudu garfu.

Hangat haba dari dapur dapat dirasa serta aroma kaffein menyerapi rongga halus sinus.

Selang sepuluh minit kemudian, roti bakar, telur separuh masak dan satu cawan kecil kaffein pekat sudah berada di hadapan. Tidak lupa juga Mee Yee Yong Kungfu sebagai pelengkap kunjunganku.

Biar, biarkan aku menikmati suasana indah ini, di kedai kecil miliknya sa-orang Cina bersama arwah atuk walau sekadar di dalam memori.

Kerana aku tahu, kenangan dan suasana itu sukar untuk aku perolehi diwaktu ini yang serba serbi moden.


-Yoba-

Thursday 7 February 2013

Positif

"Mereka semakin kurang ajar. Dahulu perihal ketuanan Melayu, ni kali perihal isu Kalimah Allah pula dipersoalkan. Celaka-lah mereka ini!"

Merah padam muka teman-ku kesan amarah yang membara.

"Sabar sahabat..." jawab aku, pendek.

Benar, selayaknya dia harus berang bila agama yang dianuti penuh girang diinjak hingga lunyai oleh mereka yang digelar kafir harbi ini.

"Mana boleh sabar, ini hal agama. Kalau dia di hadapan aku, sudah lama mati aku kerjakan dia."

"Kau terlalu ikutkan emosi.  Cuba kau selidiki secara dalam dengan konteks yang besar, mana tahu mungkin kau akan nampak positifnya?" 

"Gila! Mana datang positifnya selain yang aku nampak jalan menuju kehancuran? Cuba kau ceritakan pada aku apa yang kau lihat?"

Lalu aku terangkan lebih kurang begini adanya;

Jika kamu percaya dengan Allah SWT, aku yakin segala apa yang terjadi ni ada hikmahnya. 

Aku berpandangan apa yang terjadi tak lebih sebagai bentuk peringatan dari Allah SWT supaya kita lebih dekat dengan diri-Nya. Untuk terus mengingati diri-Nya.

Supaya umat Islam kini, yang telah berpecah-belah mengikut idealogi masing-masing untuk kembali bersatu padu. Aku lebih gemar melihat situasi ini sebagai suatu proses kesedaran dan kebangkitan.

Bukankah sewajarnya begitu?

Dan pernahkah kau terfikir kenapa Allah SWT menurunkan isu ini pada pemimpin utama parti politik bukan Islam dan bukannya dikalangan umat Islam itu sendiri?


-Yoba-

Tuesday 5 February 2013

Kekasih Lama.


"Kekasih lama kau sudah bertunang, dan bakalan menikah tahun ini,"

Dalam hati, mahu aku tanyakan bekas kekasih yang mana satu. *gelak* tetapi ya, dia cuma kenal sa-orang bekas kekasih aku.

Yang, itu.

"Baguslah.." jawab aku, pendek.

"Kau tak rasa apa-apa? Bukan kau yang tinggalkan dia dulu, alih-alih dia yang menikah dahulu!"

Entah. Aku tak mahu peduli apa-apa berkaitan dia.

***

Ceritanya mudah. Kau boleh kata apa saja tentang aku. Kau boleh kata apa saja tentang keburukan aku, kelemahan aku. Di depan, atau di belakang aku. Terserah kau.

Tapi, jangan pernah untuk kau kata apa-apa berkaitan keluarga aku.

Aku tak kira ianya sengaja, atau tidak sengaja. 

Dalam hati aku terisi ramai orang. Ada keluarga, sahabat, teman, kawan, kenalan dan mungkin juga kalian.

Tapi dia, takkan pernah mendapat tempat dalam hati aku.

Sumpah demi Tuhan, perempuan seperti dia takkan pernah mendapat tempat dalam hati aku, walau sedikit pun.

-AsaSiaga-

Saturday 2 February 2013

Indah


Apabila tonton sebuah filem yang bagus, dan digarap pula dengan baik, rasanya pasti lain. Rasanya pasti, indah. Apa lagi kalau filem itu sebuah filem cinta. Tentang sepasang anak laki-laki dan anak perempuan yang bertemu di pengawalan cerita, bertingkah di pertengahan tetapi tetap bersatu di akhirnya.

Klise, tetapi indah bukan?

"Ku lari ke hutan, kemudian menyanyiku.Ku lari ke pantai, kemudian teriakku.Sepi.. sepi dan sendiri, aku benci.Aku ingin bingar, aku mau di pasar.Bosan aku dengan penat,Enyah saja kau, pekat! 

Aku berjelaga di kaki sendiri.Pecahkan saja  gelasnya biar ramai.Biar mengaduh sampai gaduh.
Ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih.Kenapa tak goyangkan saja locengnya?Biar terderah.Atau, aku harus lari ke hutan,belok ke pantai?"

Dan kalaulah dunia sini juga seindah itu? Biar kamu jatuh entah berapa kali, luka dan calar menjadi kebiasaan hati, tetapi nanti pasti berhasil. Kelak, pasti berhasil.

Jika gagal pun, aku tahu aku coba. *senyum*

Kalian, bagaimana?


-AsaSiaga-