Tentang

Friday, 9 November 2012

Analogi

Hati ni dan hati itu kalau telah difilemkan nescaya beginilah cerita adanya bila mana diambil secara rangka demi rangka. Duduk rapat-rapat, tenangkan fikiran aturkan pernafasan. Satu, dua dan tiga.

 Kita mulakan ya....

Dua objek yang kenyal tiada rasa. Tiada apa dinyatakan. Tiada apa untuk diungkapkan. Hanya hidup dengan perihal sendiri pada awalnya.

Satu tika, dua nadi secara serentak berdenyut kuat dari biasa mengikut frekeunsi tertentu yang difahami oleh mereka lalu bertukar isyarat bila pertama kalinya bertemu agar masing-masing setuju untuk terus berhubung dikemudiannya.

Saat ini, perlahan-lahan dua objek kenyal ini berubah fasa kepada cair kemudian larut disusuli sebati seperti susu dicampur ke dalam teh mahupun kopi. Segalanya manis. Sukar serta agak mustahil untuk dipisahkan. Ya, barangkali.

Dalam proses ini, cabang pengakhirannya ada dua. Samada kekal atau sebaliknya. Nasibnya terserah pada keadaan untuk ditentukan. Cabaran. Penuh dengan liku dan cabaran yang perlu diharungi.

Bila sebaliknya, sebatian yang mustahil dipisahkan tadi secara drastik membentuk dua lapisan; seperti minyak di atas dan air dibawah. Nah.. antara air atau minyak, pilih saja yang mana mahu diwakili. Yang nyata tidak sama sekali bercampur apatah lagi sebati. Sangat mustahil. Adakalanya bila terusik, ia tenggelam atau melewati sedikit dalam larutan satu lagi untuk seketika namun pantas kembali ke sediakala.

Jika tidak dirawat, dua lapisan ini akan kembali berubah fasa kepada kenyal. Tragis andai tidak dikawal mampu menjadi pepejal yang engkau tidak akan menduga betapa kerasnya ia. Namakan saja apa yang terkeras di dunia, dan ianya lebih tingkat atas dari yang engkau nyatakan itu. Lebih pilu, mampu merubah menjadi bangkai yang diperam dengan dendam-dendam berkaitan perihal dahulu.

Kitaran ini akan terus menerus berlaku sepanjang dalam hidup bila mana sebati itu belum lagi diketemui
beserta manisnya yang terus kekal hingga mati.

-Yoba-

5 comments:

Gillette Flores said...

Yoba. Aku faham 101% entri ini.
Kau mengingatkan aku kepada lagu 'Water & a Flame" Adele & Daniel Merriweather :)

Anonymous said...

@Flores

terima kasih kerana memahaminya :)

Yoba

Nong Andy said...

Yoba..

sejujurnya aku harus ulang baca semuanya sekali lagi.. mungkin 3 atau 4 kali lagi.. tapi tak mengapa. aku spesis suka membaca :D

Anonymous said...

@Nong Andy

Perlu dibaca berulang kali sebab apa yang ? Sukar untuk memahami ? Maafkan diri ini . Sila baca perlahan-lahan ya :)

Yoba

Anonymous said...

aku syak.. ia adalah cinta. yg berputik dan bila ia musnah.. tapi entahlah.. memang kena kunyah perlahan-lahan :D


~Nong Andy~