Tentang

Sunday 20 October 2013

Jodoh aku itu, kamu.

Saat sakan bergelak ketawa perihal jodoh dan mengenangkan nasib kami yang belum berpunya. Seorang kawan yang aku anggap seperti adik sendiri bertanya, jadi melihat kepada situasi awak sekarang, awak akan terus terima orang yang suka awak atau masih berharap dengan orang yang awak suka?

Diam. Aku tiada jawapan yang jelas untuk diberikan. Tapi yang aku tahu, ya aku masih berharap kau juga akan suka aku, macam mana aku selalu suka kau. Dan untuk kawan yang aku anggap adik, hanya senyuman nipis dan senget aku mampu berikan sebagai ganti jawapan bagi soalan itu.


Kerana sampai ke hari ini aku masih lagi percaya, jodoh aku itu, kamu.




-HeroinSeven-

Sunday 13 October 2013

Keluarga.

Semua perkara yang berkaitan dengan keluarga, boleh dikatakan adalah rasa bahagia dan gembira. Walau kadang ada rasa sebal menyapa atau dimarah tidak semena. Tapi hakikatnya jika dihitung pakai formula matematik atau apa saja, masih juga jawapannya keluarga sama dengan bahagia. Terima kasih Tuhan untuk pinjaman paling berharga.

-HeroinSeven-

Tuesday 1 October 2013

Rahsia

Dulu kita selalu berkongsi cerita tapi sekarang aku rasa kau semakin berahsia. Untuk hampir semua perkara aku tahu dari orang lain dan bukan lagi dari kau sendiri. Aku sudah tidak boleh dipercaya ya? Mungkin.

Dan itu betul betul melukakan hati aku.


-HeroinSeven-


Sunday 29 September 2013

Jatuh Cinta

Jatuh cinta itu indah ya?
Walaupun sudah jatuh untuk kali ke berapa.
Masih manis seperti kali pertama.

Awak, saya sedang jatuh cinta.
Sila kekal disisi dan kita kongsi bahagia bersama.


-HeroinSeven-

Friday 27 September 2013

Takdir.

Kau rasa aku sesuai dengan orang yang macam mana?

Entah, sebab kau ni macam macam. Aku sorang je yang tahan dengan kau.

Kalau kau tahu rasa aku saat itu apa. Kalau.

Dan aku masih terus bertanya, 'adakah nanti takdir akan tersenyum kepada kita berdua?'



-HeroinSeven-


Monday 23 September 2013

Tentang Kamu.


Jatuh cinta itu, indah juga kan?

Menjadi milikan kamu- itu adalah perkara yang terindah terjadi dalam hidup aku.

*senyum*

Maaf ya, jika aku mengambil masa sedikit lama untuk terjumpakan kamu.

Aku janji, 
akan aku gantikan semua masa yang aku siakan, dan akan aku kongsikan semua indah yang aku rasa bersama kamu, kerana kamu.



Seumur hidup aku.
Seumur hidup kamu.

Seumur hidup kita.

-AsaSiaga-

Friday 20 September 2013

Kerana Aku Sedang Rindu.

Hati tidak tenang.
Fikiran jauh melayang.
Kau yang aku sayang.
Bila mahu pulang?
Aku sedang rindu.
Mahu berkongsi sendu.
Ingin pinjam bahu.
Kerana aku sedang rindu.
Dan aku sedang teramat rindu.




-HeroinSeven-

Wednesday 11 September 2013

Aku Cuma Mahu Satu Hari.

Aku mahu satu hari yang dipenuhi dengan ketawa dan usik manja kita berdua.
Pergi kedai buku dan makan nasi ayam yang sedap bersama.
Aku cuma minta satu hari, sayang.
Satu hari.
Dan esoknya aku akan teruskan hidup seperti biasa.
Dengan merindukan kenangan kita.


Orang miss dia yang ikat tali kasut orang kat atas peha dia. *nangis*





-HeroinSeven-

Tuesday 10 September 2013

Jodoh

Dihantui perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Suka tapi tidak berpeluang. Belum suka tapi memberi peluang.

Untuk apa saja keputusan yang aku buat sekarang, aku yakin akan terkesan untuk masa depan. Tapi aku tanya kau, pernah pula aku diberi peluang membuat pilihan? Maksud aku, memilih untuk bersama dengan orang yang aku suka. 



Bagi kamu, jodoh itu boleh berubah jika kita berusaha?




-HeroinSeven-

Thursday 5 September 2013

Tenggelam

Malam yang kelam dengan suasana suram dan aku ikut tenggelam. Karam dalam angan angan dan impian sendiri.

Untuk masa depan yang belum pasti, aku berharap dan bersangka yang baik saja aturan dari Tuhan.



Walau sebenarnya aku telah jatuh yang paling jatuh. Tersenyum juga aku sudah rasa peritnya apa lagi untuk belajar bangkit kembali.

-HeroinSeven-

Asa


Kamu datang, dan cuma duduk diam-diam saja atas padang tempat bermain. Duduk di atas rumput, tanpa apa alas itu kadang-kadang rasanya lain, kan? *senyum* Rasa tanah. Rasa bumi. Rasa alami. Jangan fikir apa, cuma duduk sambil senyum tenung pandang apa beda? Pohon besar yang masih sama; hanya tinggal makin tunduk makin rebah. Hanya tunggu masa.

Hey, kita juga begitu. Tunggu tunduk, tunggu rebah. Antara sadar atau tidak yang jadi penentu.

Dalam diam itu, kamu cuba pandang jauh atas langit paling tinggi. Ada garis awan yang jadi penghalang, tapi ia-nya melengkapi. Senyum sinis bisa ukir dalam ucap, yang hati kamu punya rasa seluas langit, cuma diri kamu sahaja yang masih hanyut sisi pandang. Kaki kamu yang masih terpasak di bumi.

Tunduk.

Untuk apa mahu tunduk dan tangis? Menyesal atas dosa lampau? *gelak* Manusia bego. Itu sekedar menambah gigit kaki kamu untuk terus melangkah. Luaskan hati, seperti langit yang kamu pandang tadi. Indah, bukan? Dalam diam begini. Ah, asyik. Kadang hati hadir akan bisik halus, suara-suara lampau lepas mula. Gelak masih jadi mimpi. Tak apa, teruskan. Kemudian ambil masa kamu, dan pandangkan rumput di padang. Ada yang pekat warna, ada yang pudar warna. 

Kamu, bagian yang mana?

Ada yang pekat warna, ada yang pudar warna. 

Kalau kamu bagian yang pekat warna, maka terus aja kamu angkuh menongkah arus. Itu adalah tempat selayaknya untuk kamu. Teruskan semua asa kamu. Itu selayaknya untuk kamu. Jangan pernah sia apa yang punya. Percuma. Tapi kalau kamu bagian yang pudar, nah. Bagaimana? Kerja keras. Sempit mana ianya cengkam, coba lolos. Usaha untuk terus hidup. Capai sisa tanah yang lembap, dan kuasa apa yang kamu mampu. Selesai semua, kamu juga akan kembali pekat. Saat selesai semua, cari bagian yang pekat tadi. Selayaknya kamu damping sama hebat, damping sama angkuh. Pesan cuma di akhir nanti, kamu masih berkongsi cerah dan hangat cahya suria yang sama.

Begitu, kan?

-AsaSiaga-

Tuesday 3 September 2013

Separuh hati.

Kalau dihimpunkan seluruh bintang dan bulan di langit itu , separuh hati ini pun masih tak punya rasa cukup sayangku padamu .

Begitu pun sayang,

kamu tak pernah tahu tentang itu.

-Yoba-

Saturday 24 August 2013

Teman Sepermainan

Orang yang paling menjengkelkan di awal pertemuan hakikatnya sekarang adalah orang yang paling aku sayang.

Dunia, pernah pula tidak penuh dengan kejutan kan?

Ada orang berpendapat yang mahal itu berharga. Harus dijaga. Tapi bagi aku yang berharga itu mahal. Seperti kenangan kita berdua.

Aku rindu kau, teman sepermainan kesayangan. Tentang harapan aku, tentang impian kau.

Jangan tinggalkan aku sendiri lagi. Aku mohon.

-HeroinSeven-

Friday 23 August 2013

Siapa tahu?

"Ala, hujan,"
Kenapa dengan hujan? Balas aku.
"Kalau hujan, tak nampak bulan,"
Siapa tahu? Balas aku semula.

Malam tadi, aku nampak bulan penuh.
Cerah. Cahya. Indah.

Sudah aku katakan, sayang.
Siapa tahu? *senyum*

-AsaSiaga-

Monday 19 August 2013

Kalah.

Bagaimana cara untuk aku bagitau kau yang sebenarnya aku suka kan kau. Payah mengungkap kata. Penat menyimpan rasa. Dan mungkin bila aku luahkan aku akan kehilangan kau yang tak pernah pun aku miliki.*gelak* Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan aku pilih untuk menjadi orang yang kalah. Belum sampai masa, belum sampai masa aku.

Semoganya rasa yang mengganggu hati ini pergi setelah hari berganti. Aku menyerah kalah, kerana aku yakin sekarang kau sedang bahagia. Terus gembira, kawan. Ah lebih tepat pencuri hati aku. Kakaka.

Aku mengaku kalah bukan kerana aku tidak berani tapi kerana aku terlalu mencintai.

-HeroinSeven-

Moga-moga


Beritahu aku, Sang Kekasih
Bila saja rasa itu telah ada
Bila saja rasa itu telah punya
Bila saja rasa itu telah sedia.

Beritahu aku, Sang Kekasih
Kerna menunggu kamu tak akan pernah jemu
Kerna menunggu kamu tak akan pernah lewat
Kerna menunggu kamu tak akan pernah lama

   "Haha! Kau gila, kau gila!" tawa si perawan. Aku cuma senyum melihat riak muka yang seakan menyindir, tapi ada ruang-ruang risau yang seharusnya aku isi dengan penuh setia. Dan dia, tak pernah suka jika aku tersenyum. 

   "Apa maksudnya aku gila?" soal aku. Si perawan kali ini mengalih tempat. Senyum. dan mula menyoal, "Apa kau gila? Apa kau gila menunggu sesuatu yang takkan pernah pasti? Aku tak mampu untuk beri apa jaminan yang pernantian kau kelak nanti akan berbalas. Sudah-nya, kau sendiri akan temu sesal,"

Beritahu aku, Sang Kekasih
Apa menunggu kamu, aku peroleh sesal?
Apa menunggu kamu, Aku ketemu kesal?

Setiap masa yang aku tunggu,
Itu lawan untuk aku
Setiap masa yang aku tunggu,
Itu kawan untuk aku

Lawan untuk memenangi kamu
Kawan untuk menemani aku

"Kau belum cukup kenal aku. Kau belum sedia. Aku bukan seperti yang kau sangka. Kau mengharapkan sesuatu yang sempurna, tapi aku tak mampu beri itu. Kau hanya akan beroleh hati yang sudah calar, sudah luka mahu mati," balas dia, perlahan. Penuh bersahaja bicara soal hati, tapi seperti-nya ada seka yang mampir. Rona matanya wujud bayang risau. Tidak aku tanyakan, kerna aku tahu dia akan menyambung. Aku biarkan dia ambil masa. Sedikit. Sedikit. Sedikit. Sedikit. dan ya, "Kamu mahu terima hati yang sudah begini?"

Beritahu aku, Sang Kekasih
Apa kurangnya hati kamu
buat persembah
buat taruhan

Matinya hati aku
saat ianya bukan untuk kamu

Itu janji aku
Buat kamu

Kali ini, si perawan mengalih pandang ke sudut lain. Tapi aku masih bisa nampak senyuman sinis yang terukir di sudut bibir itu. "Lelaki, sentiasa dengan janji. Bukan aku sengaja tidak mahu menaruh percaya, tapi apa beda-nya kau dengan yang sebelum-nya?" Perempuan. Sentiasa mahukan jaminan. Aku sedikit terusik dengan pertanyaan dia, cuma tidak terluahkan. Ambil sedikit masa, dan aku jawab kembali, "Apa kau nampak aku seperti yang sebelum-nya? Kau, takut?"

Beritahu aku, Sang Kekasih
Jika aku masih jadi ragu-mu
Maka biar aku hapus terus biar pergi semua rasa

Jika hati ini masih menjadi soal kamu
Maka biar aku tinggalkan hati aku
Untuk kamu punya

Moga-moga ianya jadi peneman
Jadi pemujuk hati kamu
Moga-moga ianya jadi pelengkap
Jadi sempurna hati kamu

Moga-moga.

***

Hey, masih merajuk?
Jangan lama-lama. 
Takut nanti rindu.

Bulan mungkin bisa penuh,
tapi hati aku sudah tinggal separuh.

Dibawa kamu. :)

-AsaSiaga-

Saturday 17 August 2013

Tentang Malam Yang Paling Rindu

Menafsirkan gelap sunyi beku yang menggigit itu rumit.

Ianya kecamuk dengan rasa yang meruah dan mahu diisi ke dalam jiwa yang kosong.

Sayang.

Harus perlahan. Harus dikit-dikit.

Takut nanti rosak. Takut nanti hancur.

Tapi jika perlahan,
Tapi jika dikit-dikit,

Takut akan terlepaskan.

Sepertinya selalu. Sepertinya. Selalu. Jadi bagaimana?

Pulang.

Kerna semuanya masih tentang malam yang paling rindu.

-AsaSiaga-

Tuesday 13 August 2013

A Self Reminder


Ketika kamu diacuh-acuh dengan pelbagai perkara, tidak cukup dengan kamu hanya sabar.

Kamu bisa sabar, tapi belum tentu kamu redha.

Redha, jauh lebih baik dari sabar.
Redha, jauh lebih tinggi dari sabar.
Redha, jauh lebih hebat dari sabar.

Allah musta'an. *senyum*

Maka, coba-lah untuk redha.

Mana mungkin bunga hendak mekar, 
Jika jiwa masih tertusuk bunga yang lama.
Mana mungkin bunga itu gugur,
Jika tidak bawa bersama seluruh jiwa.
Mana mungkin indah bunga nan satu,
Jika jiwa sebelum turut meluruh.

-AsaSiaga-

Monday 5 August 2013

Peek-a-boo


Hai.

Masih mahu main sorok-sorok begitu?
Ayoh dekat sini,

dan serahkan hati kamu.


-AsaSiaga-

Tuesday 30 July 2013

Bidadari Langit ii


Malam kelmarin, bidadari langit muncul lagi.
"Masih patah hati?" tanya dia.
"Mana kamu tahu?" 
Dia hanya tersenyum.
"Ah, kamu bidadari. Apa saja yang kamu tidak tahu,"

"Kamu tahu, jodoh semuanya tertulis di langit. Nama kamu juga ada di sana,"
"Adakah nama aku tertulis bersama nama dia?" tanya aku lagi.
"Itu rahsia," jawab dia kembali.

"Kalau kamu naik ke langit nanti, aku mohon kamu padamkan nama aku. Semuanya sudah selesai. Aku sudah.. tak mahu lagi,"

Dan bidadari langit itu, masih lagi tersenyum.

-AsaSiaga-

Monday 22 July 2013

Bidadari Langit.

Malam semakin larut. Dan aku terjaga. Lewat belakangan ini, aku mudah terjaga ketika tidur. Aku bangkit, dan melihat ada seseorang yang sedang duduk di hujung ranjang.

"Siapa kamu?"
Wajahnya terlindung di sebalik rambut yang panjang kehitaman. Sayap-nya merengkuh menutupi badan yang separuh telanjang.

"Aku, bidadari langit,"

Takut? iya. Takjub, lebih dari iya.

"Apa kamu buat di sini?"
"Hanya menumpang duduk. Sedang menjahit sayap yang kepatahan,"

Aku melihat jauh. Benar, sayap-nya patah. Luka. Dan si bidadari sedang menahan sakit menjahit semula sayap yang kepatahan.

"Kenapa sayap-mu patah?"
"Kerna aku menanggung doa kalian yang terlalu berat,"

Aku senyum. "Tuhan pasti tidak pernah menyuruh kamu menanggung doa aku. Malah, doa aku mungkin tidak pernah terangkat ke langit sekalipun,"

Bidadari itu membalas senyum lantas berkata, "Tidurlah. Hari ini belum sampai hari kamu. Sampai masa, aku datang semula,"

-AsaSiaga-

Saturday 6 July 2013

"Cardinal Rule" tentang lelaki

Orang kata, lelaki ni jangan percaya sangat.

Kalau lelaki cakap apa apa, terbalikkan maksudnya andai kau nak selamat.

**************

Aku kata, orang kata tu betul.
Jadi apa apa aku yang aku cakap, jangan ambil face value.

Jadi bila aku cakap:

1) Aku benci gila kat kau.
2) Aku tak rindu langsung.
3) Kau forgettable.
4) Kau sangat common. Ada sejuta orang muka dan perangai macam kau.
5) Kau ada ganti. Tak kisah lah kalau aku hilang kau. Aku tak mati.
6) Aku boleh hidup dalam dunia yang takde kau


Jangan percaya aku. Aku tipu.

-Buck Futter-

Thursday 4 July 2013

Topeng.


Kamu punya topeng? Ah, usah tipu. Semua manusia itu bertopeng. Jangan pernah untuk kamu nafikan itu. Tinggal lagi, untuk apa topeng-nya?

Aku juga punya topeng yang tidak pernah terlihat, dan sentiasa aku pakai untuk lindungi diri aku.

Ianya adalah sudah calar dan rosak. Tapi aku hias semula dengan warna-gurau dan loreng-kata-usik.

Biasanya, aku pakai bila aku ketemu dengan si dia. Aku tak pernah punya keberanian untuk telanjang jujur bila berhadapan dengan si dia.

Kadang, aku pakai cuma selapis. Kadang, dua atau tiga lapis. Ya, bergantung pada mood ketika itu. Jika aku sedang kacau, bisa saja untuk aku pakaikan lebih banyak lapis, dan berharap dia tidak akan pernah perasan akan kesedihan aku.

Atau...mungkin dia tidak pernah ambil peduli pun. *senyum*

Namun, aku selesa begitu. Mungkin, ianya penuh dengan kepuraan. Ada kalanya, kejujuran itu memakan diri, ada kalanya kejujuran itu mengheret kamu jauh dan jatuh ke ruang paling dalam tanpa kasihan.

Untuk apa kamu jujur jika kejujuran itu sedikit-dikit merampas semua yang kamu rasa sehingga kamu tidak punya apa-apa untuk kamu rasakan?

***

Lewat malam itu, aku katakan padanya, yang aku sukakan dia. Sungguh, jantung aku sepertinya terlangkau detak. Pada awalnya, si dia cuma diam. Lama sedikit, si dia mula ketawa dan menggosok lembut rambut aku.

Bilangnya, semakin lama, aku semakin hebat bergurau. Semakin asyik mengusik. Dan dia hampir percayakan kata-kata aku tadi. Si dia bilang lagi, dia sangat beruntung kerna punya kawan yang mampu hiburkan dia setiap masa.

Kamu tahu apa tidakan aku selepas itu?
Aku pakai satu lagi lapisan topeng, dan ikut sama ketawa dengan si dia.


-AsaSiaga-

Tuesday 2 July 2013

Aku (Tak) Perlukan Dia

Aku (tak) perlukan dia.

Aku tak perlu kata-kata manja setiap masa.
Tak perlu aku tahu aku disayangi setinggi mana.
Tak peduli pun aku tentang betapa rindunya si dia,
Merepek itu semua.

Tak kuasa aku jaga hatinya.
Tak guna aku setia padanya.
Tak ingin bebasnya aku dipenjara.
Buang masa, menarik tali cinta.

Haish....

Tapi kan,
Menipu diri sendiri itu tak perlu...

Sebenarnya hati aku ingin rasa dirindu
Aku perlu ingin diperlu
Kadang teringin juga dipanggil "KEKANDA!"
Mungkin keluar sama - sama bila ada masa.

Hai Cinta,

Tak hidup aku dengan Kau,
Tak hidup aku tanpa Kau.

-Buck Futter-

Thursday 27 June 2013

A fool's lament



For all the tears you shed
For all my promises unkept
For all those wasted years of pain
It amounts to nothing, it was all in vain.

All these while, you have stayed true
I should've known all along it was you
It was you who I was looking for
Alas, it was you who I ignore

It was you that my heart sang to
It was me that failed to see.

For all the things I have done, I am sorry
I really am.

For all the things you have done, Thank you
I am grateful.

-Buck Futter-

Monday 17 June 2013

Mampus


Saat wajah biasa, berubah cantik.
Saat wajah cantik, berubah lunak.

Ah mampus aku, mampus!




"Because you love her to much,
And you dive too deep,"

-AsaSiaga-

Thursday 13 June 2013

Kejam

Kalau diturutkan, di dalam dunia ni cuma wujud 3 golongan yang benar-benar kejam antara satu sama lain.

Pertamanya; manusia yang berimamkan dengan perniagaan.

Keduanya; manusia yang bertuhankan dengan politik.

Ketiga; ya dan terakhir barangkali manusia yang pernah dibalut dengan rasa cinta.

Hipotesis ini hanya terjadi andai topik keagamaan itu dibuang dan juga jenayah itu tidak wujud.


-Yoba-

Monday 10 June 2013

Mencari

Ada di suatu waktu lalu, aku pernah diperdengarkan  nasihat dari orang lama. Kiranya manusia yang memberi kata ini luas ilmunya dalam perihal perhubungan. Lebih kurang begini adanya;

"Perempuan.... Ya, dalam perihal kamu - perempuan . Perempuan ini boleh diibaratkan wang. Mudah hadir dan mudah pula pergi. Itu biasa dan kamu harus terima. Usah banyak bicara.

Jadi perempuan bagaimana yang harus kamu perhati? 

Jika ada dikalangan perempuan itu yang bisa memberikan ketenangan bila kamu berkonfrantasi atau berdampingan dengannya, maka perempuan itulah yang harus kamu pertahankan untuk dijadikan teman hidup"


-Yoba-

Friday 31 May 2013

Jauh.


Jauh-jauh pungguk merindu,
Berteman sunyi menanggung rindu.
Lihat bulan asyik menunggu,
Tiada kuasa ingin bertamu.

Tinggi-tinggi bulan berlagu,
Lihat pungguk menatap sayu.
Jika sayang jika kan mahu,
Mengapa tidak terbang bertemu.

Mengapa takdir seakan cemburu,
Melihat dua saling menyatu.
Mengapa jodoh jadi seteru,
Mungkin waktu tinggal penentu.

Hati meremuk, hati merindu.
Hati menjauh, hati kan jemu.

-AsaSiaga-

Monday 27 May 2013

Si Bunga Hati.


Ada yang kata,

Bila kita teringatkan seseorang yang kita suka, jantung kita akan berdetak lebih laju. Lebih kencang. Mungkin kerna, si dia membuatkan kita resah, atau gembira, atau perasaannya melonjak, atau apa saja. *gelak* Entah. Aku tidak tahu. Aku tidak merasakan itu.

Yang aku pasti,
bila teringatkan kamu.

Hati aku terasa tenang. Dan tersenyum sendirian.

Mungkin kerna separuh hati aku ada pada kamu.

Atau, seluruhnya.

Ya. Seluruhnya pada kamu,
si Bunga Hati.


-AsaSiaga-

Tuesday 14 May 2013

Kegilaan.


Lama dahulu, seseorang bertanya kepada Qays,

"Wahai Majnun, untuk apa kau bersedih kerna terpisah dengan Layla? Demi Tuhan, dia bukanlah seorang yang rupawan. Kami boleh tunjukkan beribu lagi gadis lain yang lebih cantik dan menarik untuk kau pilih,"

Dan jawapan Qays,

"Untuk melihat keindahan Layla, kamu perlukan sepasang mata milikan Majnun,"

Majnun. Kegilaan.

Mengaku cinta, itu mudah.
Tinggal lagi,

Sejauh mana kegilaan kalian? *senyum*

Dalam peluk mencabar maut,
Langit indah melitup awan.
Pada dikau hati terpaut,
Hadir cuma  duka menahan.

-AsaSiaga-

Wednesday 8 May 2013

Waktu


Mendengarkan lagu yang baik susunan-nya. dengan bait kata yang indah, cukup untuk membuatkan waktu seakan-nya berhenti.

Waktu.

Ironi apabila waktu tidak pernah berpihak pada aku.

Dan waktu juga memberi kesempatan untuk aku melihat kamu- 
bahgia pacaran sama lelaki lain.
 

Aneh,

Kerna aku masih lagi percaya,
yang kamu adalah jodoh-ku.

-AsaSiaga-

Monday 29 April 2013

Tunggul


        "Usah gusar, diam disini berpeluk janji hingga kau berputus untuk tinggalkan langkah"


Terang hampir kabur bak kabus semakin hilang.

Lalu aku bersoal sendiri.

Inikah pengakhirannya?


-Yoba-

Monday 15 April 2013

Mimpi


"Saya sayang awak, tapi saya sukakan dia. Bagaimana?"

Mimpi yang sama, berulang-ulang.

Dan aku ikut tanya.

Bagaimana?

-AsaSiaga-

Monday 8 April 2013

Selingkuh


"Muka kamu, nampak lain,"

Apa yang lain?

"Seperti, dirasuk."

Kamu mahu bilang muka aku seperti setan, ya? *gelak*

"Sedikit, aku kira. Aku tak pernah sangka yang ianya bisa jadi..seteruk begini,"

Demi Tuhan. Demi hanya Tuhan yang tahu bagaimana sakitnya.

***

"Kamu masih sayangkan dia, bukan?"

Aku terhenti. Pili air masih lagi terbuka. Air mula membanjiri sinki dan menenggelamkan pinggan mangkuk yang tersisa makanan. Soalan yang diajukan itu sedikit sukar untuk aku jawab. Apa sekarang aku sudah tidak punya pilihan? Hendak dijawab, aku perlu menjaga hati gadis ini. Hendak dibiarkan, pasti soalan berganti soalan akan terus menujah aku. Hendak ditipu, ah, ini hanya akan menyakitkan hati semua pula.

Pili air aku tutup, kemas. Nafas aku hela panjang. Pandangan aku segera lemparkan pada gadis itu, yang setia dari tadi duduk di atas tepi sinki. Dia diam, masih menantikan jawapan aku. Tapi riak mukanya, nakal. Seakan sengaja mahu mengenakan aku dengan soalannya. "Tolong aku, ambilkan kain. Di sebelah kamu tu,"

Pinggan mangkuk yang sempat dibersihkan, aku lap satu persatu. Kerja rumah, memang biasa diuruskan dia, tetapi kerja dapur selalunya aku yang selesaikan. Leceh, katanya. Aku ikutkan saja. Buat apa mahu telagah? Jika dia mahu uruskan seluruh bagian rumah, dan kenapanya aku mahu berkira jika perlu uruskan satu bagian dapur sahaja? Lelaki, harus kadang-kadang menyingkir rasa 'jantan' dan masuk dapur juga barangkalinya. Haha!

"Apa aku masih sayang dia atau tidak, itu tidak pernah jadi soal. Aku kira, tak penting apa lagi kan? Sekarang, aku bersama kamu. Bukan bersama dia." jawab aku, sambil menyusun pinggan di rak. Dia masih lagi duduk di atas tepi sinki, dan memandang aku. Sedikit mencebik. Aku tahu, dia mahu jawapannya malam ini juga, dan jawapan aku tidak cukup menyakinkan.

"Aku mahu hati kamu,"

Aku tergamam. Jarang benar dia bicara begini. Aku tahu walau dalam tenang, dia sudah capai batasan. Aku harus hati-hati dengan setiap patah yang aku berikan. Paling tidak pun, dia masih antara kesayangan aku. Dan...

"Hati kamu masih ada pada dia, kan?"

Belum sempat aku jawab, soalan lain pula yang muncul. Sudahnya aku mahu menjawab soalan yang mana satu dulu? Aku menghampiri perlahan, dan berdiri rapat di hadapannya. Muka aku benar-benar berhadapan dengan pelipisnya. Dia senyum, masih nakal, dan segera membuka luas kakinya. Kedua kakinya aku capai, dan letakkan keduanya merangkul pinggang aku. Tangan aku letakkan di pinggangnya, rapi. Kemas. Dalam dekatan ini, aku mampu mencium haruman badannya. Segar dan erotis.

"Kamu cemburu, ya?" tanya aku, cuba mengagak. Dia memeluk rapat leher aku dan membisik, "Beritahu aku, sayang. Apa bedanya aku dengan dia?" Nah, ceritanya mudah. Jika kau gagal jawab soalan yang diaju, kau akan diaju lagi dengan soalan lain. Kacau!

Aku perhati rona matanya tajam-tajam, tiada tanda cemburu. Mungkin juga aku bukan jenis yang pandai sangat meneka-neka, atau dia yang bijak menyembunyikan. Yang aku tahu, aku hanyut dan tenggelam dalam keredupan matanya. Asyik. 

Tiada kata putus. Harus langsung aja. "Ya, hati aku ada pada dia. Separuh. Bukan, seluruhnya. Seluruhnya hati aku ada pada dia. Tapi sudah aku katakan, tiada apa yang menjadi soal. Bedanya kamu dengan dia, dia tidak pernah ada bersama aku di saat aku sangat butuhkan seseorang. Kamu yang mahu terus tinggal dengan aku, bukannya dia. Kamu sempurna. Kamu mengisi kesemua kekosongan yang dia telah tinggalkan,"

Dia tersenyum manja dan memeluk aku dengan lebih rapat. "Ayuh, miliki aku," ujarnya separuh berbisik. Aku membalas pelukan sebelum tirai dapur aku tutupkan rapat. Aku tidak pasti sama ada dia sudah berpuas hati dengan jawapan aku, atau esok pagi aku akan diajukan soalan yang sama.

Yang aku pasti, malam ini harus aku sempurnakan.

-AsaSiaga-

Thursday 4 April 2013

Perempuan.


"Rebahkan tangguhmu,
Lepaskan perlahan.
Kau akan mengerti,
semua."



Dulu-dulu,
aku sangka begini.

"Perempuan, semuanya sama."

Aku tahu ianya tidak adil, tapi itulah dia.

Dan terima kasih kepada kamu,
kerna buat aku makin percaya bahwa,

Ya.

Perempuan, semuanya sama.

-AsaSiaga-

Friday 29 March 2013

Beritahu Aku.


Pada awalnya, aku sudah tiada hati untuk menulis. Dan sebenarnya sehingga sekarang juga. Aku mulai sadar yang apa saja aku tulis, ianya akan bergulir tentang kamu. Jadi, baik untuk aku jika tidak menuliskan apa-apa.

Tapi, walau bagaimana aku coba, aku tetap saja tidak dapat menipu diri sendiri. Ya, boleh jika aku 'cari' kamu dan luahkan; tapi apa hak yang aku punya? Aku masih bukan siapa-siapa. Jadi, biarlah ianya ditulis di sini.

Aku tidak pernah kenal kamu. Dan di saat kamu 'hampiri' aku, kamu bawa sekali semua rasa untuk aku terlalu ingin kenali kamu. Ianya berhasil. Aku separuh gila untuk kenali kamu siapa. *gelak*

Semuanya bermula dengan sangat sempurna. Lancar. Melebihi sempurna, aku bisa kata. Bicara kita tentang kamu, tentang aku, soal keinginan kamu, semuanya. Satu persatu, aku ungkaikan diri aku kepada kamu. Semua rahasia-nya kerna tiada rahasia untuk aku sorokkan daripada kamu. 

Kamu, buat aku percaya yang kamu adalah lain. Kamu, adalah yang aku cari selama ini.

Dan kamu bicara soal jodoh. Ianya buat aku jatuh. Seluruhnya. *senyum*

Jatuh.

Aku lupa perihal hati sendiri yang aku jaga kemas selama ini. Demi Tuhan, aku jatuh kepada kamu.

Sometimes, when you less expect it, love happens.

Kamu sudah mula menjadi bunga hati aku, tanpa aku sadar saat ianya tumbuh mekar, akarnya mencengkam jauh, kukuh tanpa peduli sakit.

Ada ketika aku terjaga dari tidur, dan terfikirkan kamu sepanjang malam.

Maaf, jika aku tidak seperti yang kamu harapkan pada mulanya. 

Cuma, beritahu aku sesuatu.

Bagaimana untuk aku pandangkan indah purnama dengan rasa yang sama, selepas ini?

Beritahu aku.

Kerna walau bagaimana aku pandang, ianya sudah tidak seindah dulu.

Aneh.

-AsaSiaga-

Friday 15 March 2013

Selepas Tanggungjawab

"Kau tahu perkara apa paling susah sekali untuk digalas selepas tanggungjawab?"

Aku yang waktu itu malas mahu memikirkan apa-apa apatah lagi perihal berat, hanya menjungkitkan bahu seraya memandang teman yang enak mengunyah pisang goreng. Untuk kali ke-tiga.
 
"Ayuh, kau bijak. Tentu kau tahu jawapannya" ujar dia, pendek.

Aku malas. Malas mahu fikirkan perihal itu ini. Kau berikan saja apa jawapannya"

Melihat sikap aku yang tidak acuh, lantas dia berikan jawapan sebagai pembuka bicara lagi.

Jawapannya mudah.

Soal dalam menjaga dan mengembirakan hati yang berada di-keliling. Dia berkata, bila bercanda harus berpada-pada. Bila menegur harus lembut tapi tegas malah bila berbahasa tentang perasaan, wajar dalam keadaan sedia.

Pengakhirannya;

"Jangan di usik lantai hati paling dalam khuatir nanti diri sendiri rugi"


-Yoba-

Sunday 3 March 2013

Khayal, berterbangan tapi terpasakkan.



Dalam sesak memikirkan sesuatu rasa yang takkan pernah terasakan lagi, ianya seperti kau mengacuh-acuh kotak memori dan memaksa untuk teringatkan semula. Ah, siapa suruh bertangguh? *senyum sinis*

Panas malam. Purnama sekali lagi tersembunyikan dalam gelap. Waktu begini, pasti asyik jika dapat duduk dan minum. Biar khayal, terawangan tapi terpasak kaku. Atau, mungkin tidak? Jadinya harus jalan berkeliaran di jalan-jalan sunyi, sambil diam-diam memasangkan musik mello dalam kotak fikir. Lelah, duduk dan sebatang sigaret dibakarkan mula. Masih lagi berfikir-fikir tanpa solusi. Biarkan meliar.

Dan aku cuma mahu tunggu hingga malam ini tamat dan lihatkan apa benar mereka kata, waktu bisa menyembuh?

-AsaSiaga-

Monday 25 February 2013

Terlanjur hati.



Melewati hari-hari yang sibuk seakannya rahmat dari Ilahi. Dalam pada memikirkan itu ini membuatkan fikiran aku sedikit sebanyak leka. Sedikit saja sebenarnya, tapi ianya sudah cukup. Ditambah dengan kerenah rakan-rakan yang bersamanya gila dan mengusik. *senyum*

Seakannya aku sudah lupa pesan.

“Perempuan, walau bagaimana dia kunci kemas pintu hati, pasti akan tewas juga. Kamu anak laki-laki. Anak laki-laki itu kuat. Sa-orang laki-laki itu takkan pernah jatuh hati, selagi dia tidak bukakan pintu hati dengan sendiri,”

Cuai, atau terbuai, aku tidak tahu.

Menyesal? Takkan pernah.

Cuma sekarang, aku kembali teringatkan.


-AsaSiaga-

Monday 18 February 2013

Valentine's (ii)



Hari Kekasih jarang memberikan apa makna kepada aku. Ya, ada satu dua momen yang aku teringatkan, tapi untuk keseluruhannya, tiada apa.

Tidak untuk Ibu. Setiap tahun, pada lewat petang Hari Kekasih, dia akan pulang tersenyum dengan sejambak bunga, pemberian Ayah.

"Dengan mengelopaknya bunga ini, layulah bunga lampau, kekasihku."

Lelaki itu, tanpa pernah gagal setiap kalinya akan menghantarkan bunga buat Ibu.


#Selamat Hari Kekasih, untuk kalian. Terlewat? Maaf. Aku sendiri sa-orang yang sentiasa terlewatkan. *senyum*

-AsaSiaga-

Friday 15 February 2013

Valentine's

Awal pagi tadi, teman aku bertanyakan perihal Valentine's. Sambutan Valentine's lebih tepat lagi. Adakah segalanya sempurna?

Lantas aku jelaskan bahawa Valentine's ku baik baik saja bermula seawal pagi kelmarin kemudian disempurnakan seawal pagi tadi.

Matanya yang bundar bertukar kecil mendengar penjelasanku.

Aku jelaskan lagi bahawa Valentine's aku tiada manisan coklat, tiada beruang besar, tiada bunga mahupun tiadanya kehadiran kekasih. Tiada seperti kebiasaan yang mereka lalui dan lewati itu. Tiada itu dan tiada ini juga. Tapi, ianya cukup sempurna.

Pelik bukan? *ketawa*

Apa yang aku maksudkan adalah, kasih dan gembiranya aku terbit tatkala pasukan Man Utd yang ego dan angkuh paras tertinggi itu sekadar seri. Itu cukup baik bagi aku. Kemudian disempurnakan pula kemenangan pasukan kegemaran aku di laman sendiri.

Bukankah itu cukup bermakna Valentine's aku?


Monday 11 February 2013

Sampai.


"Kenapa dia sampai begitu sekali?"

Begitu, bagaimana?

"Sampai dengan perempuan begitu sekali dia menggantikan aku. Apa dia sudah terdesak?" katanya dengan nada mengejek.

Aku diam, tiada apa yang aku mahu balaskan.

"Setahu aku, dia tidak suka perempuan gaya begitu. Kenapa sekarang dia gantikan aku dengan.. perempuan sebegitu?"

Ya, mungkin saja perempuan gaya begini atau begitu bukan kegemaran dia. Mungkin perempuan gaya seperti kamu yang dia sukakan.

"Jadi?"

Kau tahu, perempuan itu, yang dia gantikan itu, sangat sayangkan dia. Sangat jatuh pada dia dengan seluruhnya dia. Sangat suka akan dia dengan apa pun diri dia. Nah, itukan yang paling penting? Bersama dengan orang yang terima dia atas siapa dia. Bukan kerna dia begini atau begitu.

*dia diam*

Kamu juga tinggalkan dia kerna dia begini atau begitu. Kau tahu, perempuan itu pula terima dia kerna dia begini atau begitu. Seadanya.

"Ah, biarkan!"

-AsaSiaga-

Friday 8 February 2013

Kenangan Indah

Di satu sudut, bilah kayu pasak bernombor itu aku renung. Lusuh dan usang di makan usia. Lampu pam gas di siling sedari tadi menerangi suasana hampir malap kehabisan minyaknya.

Lalu dicapai kerusi bulat separa lutut dan aku duduk. Ruang itu, meja bulat terletak bekas kecil lada sulah, kicap cair, cili jeruk serta rimbunan chopstick juga sudu garfu.

Hangat haba dari dapur dapat dirasa serta aroma kaffein menyerapi rongga halus sinus.

Selang sepuluh minit kemudian, roti bakar, telur separuh masak dan satu cawan kecil kaffein pekat sudah berada di hadapan. Tidak lupa juga Mee Yee Yong Kungfu sebagai pelengkap kunjunganku.

Biar, biarkan aku menikmati suasana indah ini, di kedai kecil miliknya sa-orang Cina bersama arwah atuk walau sekadar di dalam memori.

Kerana aku tahu, kenangan dan suasana itu sukar untuk aku perolehi diwaktu ini yang serba serbi moden.


-Yoba-

Thursday 7 February 2013

Positif

"Mereka semakin kurang ajar. Dahulu perihal ketuanan Melayu, ni kali perihal isu Kalimah Allah pula dipersoalkan. Celaka-lah mereka ini!"

Merah padam muka teman-ku kesan amarah yang membara.

"Sabar sahabat..." jawab aku, pendek.

Benar, selayaknya dia harus berang bila agama yang dianuti penuh girang diinjak hingga lunyai oleh mereka yang digelar kafir harbi ini.

"Mana boleh sabar, ini hal agama. Kalau dia di hadapan aku, sudah lama mati aku kerjakan dia."

"Kau terlalu ikutkan emosi.  Cuba kau selidiki secara dalam dengan konteks yang besar, mana tahu mungkin kau akan nampak positifnya?" 

"Gila! Mana datang positifnya selain yang aku nampak jalan menuju kehancuran? Cuba kau ceritakan pada aku apa yang kau lihat?"

Lalu aku terangkan lebih kurang begini adanya;

Jika kamu percaya dengan Allah SWT, aku yakin segala apa yang terjadi ni ada hikmahnya. 

Aku berpandangan apa yang terjadi tak lebih sebagai bentuk peringatan dari Allah SWT supaya kita lebih dekat dengan diri-Nya. Untuk terus mengingati diri-Nya.

Supaya umat Islam kini, yang telah berpecah-belah mengikut idealogi masing-masing untuk kembali bersatu padu. Aku lebih gemar melihat situasi ini sebagai suatu proses kesedaran dan kebangkitan.

Bukankah sewajarnya begitu?

Dan pernahkah kau terfikir kenapa Allah SWT menurunkan isu ini pada pemimpin utama parti politik bukan Islam dan bukannya dikalangan umat Islam itu sendiri?


-Yoba-

Tuesday 5 February 2013

Kekasih Lama.


"Kekasih lama kau sudah bertunang, dan bakalan menikah tahun ini,"

Dalam hati, mahu aku tanyakan bekas kekasih yang mana satu. *gelak* tetapi ya, dia cuma kenal sa-orang bekas kekasih aku.

Yang, itu.

"Baguslah.." jawab aku, pendek.

"Kau tak rasa apa-apa? Bukan kau yang tinggalkan dia dulu, alih-alih dia yang menikah dahulu!"

Entah. Aku tak mahu peduli apa-apa berkaitan dia.

***

Ceritanya mudah. Kau boleh kata apa saja tentang aku. Kau boleh kata apa saja tentang keburukan aku, kelemahan aku. Di depan, atau di belakang aku. Terserah kau.

Tapi, jangan pernah untuk kau kata apa-apa berkaitan keluarga aku.

Aku tak kira ianya sengaja, atau tidak sengaja. 

Dalam hati aku terisi ramai orang. Ada keluarga, sahabat, teman, kawan, kenalan dan mungkin juga kalian.

Tapi dia, takkan pernah mendapat tempat dalam hati aku.

Sumpah demi Tuhan, perempuan seperti dia takkan pernah mendapat tempat dalam hati aku, walau sedikit pun.

-AsaSiaga-

Saturday 2 February 2013

Indah


Apabila tonton sebuah filem yang bagus, dan digarap pula dengan baik, rasanya pasti lain. Rasanya pasti, indah. Apa lagi kalau filem itu sebuah filem cinta. Tentang sepasang anak laki-laki dan anak perempuan yang bertemu di pengawalan cerita, bertingkah di pertengahan tetapi tetap bersatu di akhirnya.

Klise, tetapi indah bukan?

"Ku lari ke hutan, kemudian menyanyiku.Ku lari ke pantai, kemudian teriakku.Sepi.. sepi dan sendiri, aku benci.Aku ingin bingar, aku mau di pasar.Bosan aku dengan penat,Enyah saja kau, pekat! 

Aku berjelaga di kaki sendiri.Pecahkan saja  gelasnya biar ramai.Biar mengaduh sampai gaduh.
Ada malaikat menyulam jaring laba-laba belang di tembok keraton putih.Kenapa tak goyangkan saja locengnya?Biar terderah.Atau, aku harus lari ke hutan,belok ke pantai?"

Dan kalaulah dunia sini juga seindah itu? Biar kamu jatuh entah berapa kali, luka dan calar menjadi kebiasaan hati, tetapi nanti pasti berhasil. Kelak, pasti berhasil.

Jika gagal pun, aku tahu aku coba. *senyum*

Kalian, bagaimana?


-AsaSiaga-

Monday 28 January 2013

Jahat Harta

Di suatu sudut kedai makan itu, aku duduk dan memesan minuman. Tatkala sedang menunggu, satu kelibat tersenyum dan terus duduk di hadapanku. Tiada salam, tiada mukadimah perkenalan, dia terus memulakan bicara. Ah... sebelum itu, biarlah aku perkenalkan dirinya sebagai malaikat nakal.

Bicaranya mudah. Lebih ciri kepada sebuah pesanan. Begini lebih kurang adanya;

"Jadilah se-jahat yang kamu mampu dan puaskanlah dirimu sebelum waktunya menjadi kaya-raya. Kerna bila kamu sudah berharta, nescaya kamu sudah bosan untuk melakukan kejahatan"

Bila difikir dalamnya, ada benar sepotong kata-kata ini. Lalu aku senyum simpul mengiakan.


-Yoba-

Sunday 27 January 2013

Purnama.


Malam tadi, bulan terang.
Aku pasti,
Kita melihat purnama yang sama.

Malam tadi, bulan terang.
Aku tidak pasti,
Adakah kita berkongsi rasa yang sama.

Malam tadi, bulan terang.

-AsaSiaga-

Friday 25 January 2013

Petang

Lewat petang itu, diam aku di kerusi ini. Seperti semalam, kelmarin, minggu lepas dan lima tahun yang lalu, masih ke lokasi biasa di taman riadah - berseorangan. Mungkin bosan, ranting kayu ku capai dan tulis sesuatu pada sekangkang tanah gersang berpasir di hadapan.

Cakar padam cakar padam cakar. Entah sekian ke berapa kali, tidak pula tahu. Sesekali mata liar melihat sekeliling. Nafas dilepas berat tanda hampa.

'Yang buruk dan semua celaka itu, ada pada aku'

Usai dibaca yang tertulis, kaki bergerak sendiri seperti mengerti detik hati menyuruh segera dipadam.

"Awak, jangan padam... Saya mengerti maksud itu"

Suara itu....

Punca suara yang mengejutkan aku segera dicari. Dihadapanku, wajah tenang sedang memandang lembut serta tepat padaku disulami kuntum senyum manis.


-Yoba-

Sunday 20 January 2013

Wallet.


Petang tadi, Ibu datang, menghulurkan sesuatu dan berkata, "Nah, ini untuk kamu."

Aku ambil bungkusan dan buka kemas, ada kotak kecil berisi wallet. "Untuk apa ini?" Soal aku kembali.

"Ibu lihat wallet kamu sudah rosak. Koyak sana sini. Jadi Ibu belikan baru untuk kamu. Lagi pula wallet kamu sangat kebudakan. Ini lebih sesuai."

Buatannya halus dan elok. Pasti mahal, aku fikir. Warna hitam, dan punya banyak ruangan untuk aku isikan kad atau apa berkaitan. Aku senyum. Benar kata Ibu. Ianya benar-benar sesuai dengan aku. Sangat cocok.

"Terima kasih,"

***

Malam itu sebelum tidur, aku ambil keluar wallet dari kocek seluar, dan belekkan. Ianya berwarna coklat gelap, dengan logo plastik di sudut bawah kanan yang aku sendiri sudah lupa apa tulisan yang bercacah atas logonya kerna sudah pudar. Jahitan di sisi sudah terbuka dan berselirat. Jahitan bawah tempat simpan wang kertas pula sudah separuhnya koyak.

Usang. Hancur, sebenarnya. Umurnya saja sudah lebih dua tahun.

Wallet itu aku belikan bersama dia, di Ibu Kota. Aku terpandang wallet itu, dan aku sukakannya. Cuma ketika itu, aku tidak punya cukup wang. Kami berdua masing-masing masih studen, kekurangan wang. Dan dia sepertinya tahu yang aku mahukan ia. Lantas dia terus ambil dan bawakan terus ke kaunter. Demi Tuhan, ketika itu aku sangat risau! Dia langsung tertawa dan kata, "Tak apa, aku tahu kamu sukakannya. Aku bayarkan separuh, dan kamu bayarkan separuh lagi. Bagaimana?"

***

Wallet tersebut aku simpankan semula di dalam kocek, dan pandangan aku beralih kepada kotak wallet yang baru Ibu berikan, di sudut meja. 

Mahu gantikan yang baru?

Ah, biarlah dulu. Bukan aku tidak hargai apa yang Ibu berikan tapinya cuma mungkin aku belum bersedia untuk tukarkan lagi.

Setidaknya, bukan sekarang. Bukan malam ini.

-AsaSiaga-

Tuesday 15 January 2013

Amir Hamzah


Jika aku bisa memilih satu nama sebagai ganti, akan aku pilihkan nama Amir Hamzah.

Ibu pernah beritahu, "Kamu dulu hampir dinamakan dengan nama Amir Hamzah. Itu kemahuan bapamu," Aku tanyakan kenapa, lantas ibu senyum dan berkata, "Kerna bapamu sangat sukakan sajak-sajak tulisan-nya si Amir Hamzah,"
"Tjempaka, aduhai bunga penglipur lara
Tempat tjinta duduk bersemajam
Sampaikan pelukan wahai kesuma
Pada adinda setiap malam."
 -Amir Hamzah, Buah Rindu.


 Jika aku punya nama lain, aku percaya nama aku ialah Amir Hamzah.

-AsaSiaga- 

Sunday 6 January 2013

Jodohku.


Malam tadi, aku termimpikan jodohku. Ya benar, sejak belakangan ini aku sering termimpikan jodohku.

Aku tahu dia jodohku kerna lewat mimpi itu, aku dapat rasa adanya suatu rasa di antaranya kami. Rasa tentang kasih, rasa tentang sayang, dan rasa tentang rindu. Tapi dalam kesemua mimpi tersebut, kami tidak pernah bicara! Lucu, bukan? Kadang kami duduk bersebelahan, dan saling curi pandang antara. Ada juga kadang dia sandarkan di bahu aku, dan aku biarkan ia sepanjang mimpi tersebut.

semua tentangnya aku nampak jelas. Tidak terlalu cerah, tetapi tidak terlalu gelap. Sederhana, aku kira. Susuknya biasa. Tapi wajahnya manis dengan milikan mata redup. Rambut pula sebahu. Kadang ia mengenakan busana merah, dan itu kegemaranku. *senyum*

Senyumnya jarang, tetapi melirik. Dan itu yang paling merindukan lantas setiap kali aku sadar dari lena, aku akan berdoa agar malam nanti aku akan terus mimpikan dia lagi sehingga kami bertemu di alam sini kelak. Kerna, aku rindu amat. Aku rindu amat untuk mula bicara dengan dia!

Seperti yang aku bilang tadi, semua tentang dia adalah jelas.

Aku nampak dia, dan dia bukan kamu.


#Rasanya tidak terlalu lewat untuk aku ucapkan Selamat tahun Baru untuk kalian. 


-AsaSiaga-