Tentang

Monday, 31 December 2012

Azam

Malam tadi tahun lalu,
Baru sekejap ini sudah tahun baru,
Beda tiada yang nyata, segala sama,

Aku dekat sini, engkau dekat situ,
Mereka begini, kalian begitu,
Bernafas dalam kepompong yang satu.

Macam tahun lalu, ya.... momen inilah,
Seperti yang lain, antara mereka dan kalian itu,
Taknak ketinggalan dengan azam baru,
Yang peliknya, yang dulu tu pun masih lagi haru biru.

Jadi, tahun ni semua itu dibungkus kembali tujuannya apa?
Untuk di-renew moga-moga diperkenan oleh tuhan dan ego-mu?
Menyedapkan hati yang lawang serta bersikap cuai pada tahun lalu?

Nah... sekarang kau jawab sendiri,
Dengan azam lama dan baru dijunjung berat di kepala dan bahu,
Masih kuat lagikah untuk cuba keluar dari selut lumpur rasa bersalahmu itu?

-Yoba-

Wednesday, 26 December 2012

Janji

Ini satu janji.

Cukup waktu tiba, cukup ranum isinya juga cukup haul sifatnya dan cukup matang segalanya, akan berhenti tentang apa diusahakan. Yang dilakukan.

Pasti.

Bukan sekadar satu ekspretasi.

Lewat kewujudan ni, tidak pernah disenangi keberadaan diri malahan dipandang sepi.

Seperti anjing kurap jalanan dihalau ke tengah jalan kesejukkan dibasahi lebat hujan yang menunggu saatnya untuk mati.

Segalanya dihadam hingga mual berkali-kali namun ditahan agar tidak membasahi bumi yang suci.

Jadinya,

Senyum, tawa dan girang ini hanyalah untuk .....

Mereka-mereka tafsirkan sendiri.



- Yoba -

Monday, 24 December 2012

Waktu

Pendita pernah bersabda, masa amat berharga,
Perlu dimanfaatkan kerna setiap saat tak bisa di ditebus semula.

Tapi, adakalanya pada suatu tika,
Pernah tak kau ingin berperasaan begini,
Untuk sekurang-kurangnya...

Berbaring di lantai terbuka seperti kaki bukit atau pantai,
Dengan keberadaan bunyi unggas atau desiran ombak,
Lantas memandang luas ke langit dan suria di waktu siang,
Sambil ditemani sigar dan juga kaffein di tangan.

Atau paling tidak, sekadar duduk tepi jendela di penjuru bilik,
Memerhati setianya bulan dan bintang bersama tak pernah curang,
Pada setiap malam yang terang mahupun kelam,
Sambil sesekali wajah ditampar lembut angin monsun yang memberi ketenangan.

Membiarkan waktu berlalu dan terus berlalu,
Sampai waktu itu, mata dipejam sendiri dengan sihir alam semulajadi,
Dan terus hanyut dan larut dalam dunia yang di-impikan.

Detik itu, langsung tidak mahu memikirkan apa-apa,
Tentang jiwa, tentang dunia, tentang masa depan bahkan tentang cinta,
Tidak endah pada siapa-siapa, tak perlukan siapa-siapa,
Cukup hanya diri sa-orang dan suasana,

Kalau pun mahu siapa-siapa, cukup sekadar berada disisi yang kedap suara,
Menjadi peneman untuk merasa momen ini bersama,

Ya, kau tak mahukan apa-apa,
Cuma mahu terus begini dan terus begitu, dan kau senang begitu.

Sunyi, sepi ,hening dan tenang,
Namakan apa saja, tapi itulah yang kau mahu.
Dan berharap detik itu tidak berlalu,

Bukankah begitu?


-Yoba-

Wednesday, 19 December 2012

Jatuh Cinta.

Entah apa rasanya jika jatuh cinta.

Adakah ianya akan buat dadamu lapang seluas langit? Atau ianya seperti angin yang kau tak pernah lihat, tapi kau dapat rasa nyaman ketika disapa? Atau.. ya, mungkin rasanya manis seperti gula kapas yang lembut dan mencair sendiri? Aku fikir mungkin seperti pelangi yang indah cuma hadir selepas hujan ribut? Mungkin juga ianya seperti ada rama-rama yang terbang berselerakan di dalam perut.

Entah apa rasanya jika jatuh cinta.

Mungkin ianya hanya untuk si pemilik hati.

-AsaSiaga-

Saturday, 15 December 2012

Persoalan

 Tika diri pada garis santai dan senang di waktu tengahari , dia dihujani soalan oleh seseorang;

“Kau suka dengan dia tak?”

Terkejut dan diam.

Dalam kewarasan paling atas juga disadur emosi tenang, jawaban pada persoalan tadi berikan;

“Iya, aku sukakan dia.”

Jujur.

“Tapi kenapa tak terus terang sahaja pada dia?”

Senyum.  Jawaban diberi lagi;

“Bukankah berterus terang itu menuju suatu pengharapan? Sedang bila mana sedar diri ini sudah lanjut usia, terumbang-ambing dan masih lagi sesat di kota bergelora yang cuba untuk berdiri tempang kalau tidak pun tegak. Tidakkah kejam masa dibazir, wang ditabur dan jiwa dicurah pada orang yang salah (ia ini diri aku) dan pengakhirannya, entah tiada apa ketahuan? Jadi, masih sanggup dan berani lagikah aku untuk menyuruhnya memberi dan membina komitmen itu?”

Senyap.

“Tapi sikapmu seolah memberinya harapan.”


Memandang jauh.  Dibiar tidak berbalas kerna jawaban untuk itu disimpan kemas di dalam hati.


-Yoba-

Thursday, 6 December 2012

Puisi Untuk Kamu

Aku mahu tuliskan tentang sesuatu, tapi biarlah dulu.
Cuma belakangan ini, aku asyik teringatkan kamu. Aku tidak tahu entah apa dia, tapi ianya soal aku, soal kamu, dan soal kita. Tentang keberadaan kamu dan mungkin juga tentang ketidakberadaan aku untuk setiap langkau. Boleh jadi ianya momen ketika kita sama-sama bercanda di tengah riuh kota, atau ketika malam dingin kita habiskan masa menonton filem kegemaran, atau mungkin juga ketika kita sama-sama berkongsi puisi dan sajak kegemaran kita.
Ada aku fikir yang kalau rasa ini boleh berbagi, adakah kamu akan memilih untuk berkongsikn rasa yang sama, atau hanya biar aku sa-orang merasainya sendiri sehingga mual (walau ianya adalah hampir tidak mungkin) dan terus tertinggalkan oleh waktu.
Dan ketika aku habiskan waktu membaca, aku terjumpakan satu puisi yang aku harap kamu ada dengan aku, untuk kita sama berkongsi dan memaknakan setiap aksara berteman lampu malap, seperti kebiasaannya.

Ini, untuk kamu.
 
Ada orang yang menghabiskan waktunya berziarah ke Mekah.
Ada orang yang menghabiskan waktunya berjudi di Miraza.
 
Tapi aku ingin menghabiskan waktuku di sisimu, sayangku.
Bicara tentang anjing-anjing kita yang nakal dan lucu.
Atau tentang bunga-bunga yang manis di lembah mendala wangi.

Ada serdadu-serdadu Amerika yang mati kena bom di Danang.
Ada bayi-bayi yang mati lapar di Biafra.

Tapi aku ingin mati di sisimu, manisku.
Setelah kita bosan hidup dan terus bertanya-tanya.
Tentang tujuan hidup yang tak satu setan pun tahu.

Mari sini sayangku.
Kalian yang pernah mesra, yang pernah baik dan simpati padaku.
Tegaklah ke langit luas atau awan yang mendung.
Kita tak pernah menanamkan apa-apa, kita tak'kan pernah kehilangan apa-apa.
 
-Mencari Makna, m/s 341
 Soe Hok Gie; Catatan Seorang Demonstran.
 

-AsaSiaga-